RSS
Showing posts with label CERITA CERITI. Show all posts
Showing posts with label CERITA CERITI. Show all posts

Saturday, May 1, 2010

Ikat perut + ikat mulut?? Mak ai...sanggupnya anda.....

Teringat aku kisah seorang kawan aku yang sanggup berhabis banyak duit gaji tiap-tiap bulan semata-mata nak memenuhi kehendaknya...kalau berhabis untuk keperluan tak pelah jugak. Dia sanggup mengikat perut...tak, aku boleh katakan bukan setakat ikat perut tapi jugak ikat mulut. Istilah ikat perut dah tak sesuai dengan keadaan dia. Kalau setakat ikat perut, mulut masih lagi boleh terima makanan kan...tapi ni kalau dah kes ikat mulut...haaa...camne??


Hahaha...kalau ikat perut cenggini ok gak kan...jadi ramping sentiasa gitew!!

Credit to En Yahoo

Kawan aku ni sentiasa nak kelihatan anggun...cantik..jelita...memanglah orang pompuan kena jaga kecantikan...tapi kalau dah tiap-tiap bulan asyik menghabiskan duit gaji beli benda-benda mahal, sampaikan jiwa raga terseksa nak tunggu gaji bulan depan plak..apa kes kan? Dia ni kalau beli baju, main harga yang rat-rat aje...yang puluh-puluh suku mata pun tak pandang! Tak kiralah baju ready made ke...kain pasang ke...janji mahal you! Hadooii....macam Mr Os kata, bior pape,asal bergaye....Tapi kalau sampai tak makan, mudaratkan kesihatan..kan namanya menzalimi diri sendiri tu?


Ke nak kena ikat mulut cam unta kat atas tu???

Credit to En Yahoo

Memang duit kau hak kau...tapi aku sebagai kawan, rasa kesian kat kau. Bawak-bawaklah bertendang...eh,bertenang...jangan diturutkan sangat perasaan dan nafsu nafsi kau tu. Cukup-cukuplah..bawaklah ukur baju di badan sendiri. Kan ke bagus kalau kau bersikap sederhana aje dalam segala hal? Demi memenuhi tuntutan diri, kepentingan diri yang lain diabaikan. Kalau dah jatuh sakit nanti...haaa..camne? Dah tak de pekdah dah baju cantik-cantik...beg mahal-mahal kau tu....

Aku tak nak cakap banyakla....tapi sebagai seorang kawan yang prihatin, aku harapkan sangat kau berubah.....sikit-sikitpun tak pe, janji berubah! Aku tunggu saat kau berubah!

Sunday, January 24, 2010

Wahhh...semuanya baru!!!!

Ni kisah yang berlaku pada 20/1 lalu.....lepas aje aku habis kelas pukul 2.10 ptgtu, terus aku memecut kereta ambik anak-anak kat sekolah. Destinasi seterusnya--> PASAR LAMA MPKB! Kalau siapa yang biasa dan pernah datang ke Kelantan ni, pasar lama ni mesti antara tempat yang wajib singgah selain daripada Pasar Besar Siti Khadijah dan Wakaf Che Yeh-pasar yang tak pernah sunyi dari acara jual beli! Kiranya kalau kat KL tu, Wakaf Che Yeh ni macam Uptownlah!

Tujuan aku ke sana....nak usha-usha beli-belah habiskan duit beli tudung. Dah habis ke koleksi tudung aku yang sedia ada lagi berlambak-lambak tu sampai kena beli yang baru? Hahahahah.....bukannya dah tak de tudung, tapi aku nak survey harga tudung yang saaaangaaaaatttt aku berkenan- tudung jenama HAWA. Rasa-rasanya kalau kat KL dah jemu kot orang pakai tudung itew....aku baru nak beli setelah mula berjinak-jinak dengan pemakaian tudung yang ada awning tu....tu pun berapa kali aku dok try pakai takut orang gelakkan muka aku yang penuh bak bulan purnama ni!

Maka dengan penuh perasaan dan perasan aku pun sampaile ke tempat yang dituju. Sampai aje aku dok pusing-pusing kalah orang dok tawaf kat Mekah tu! cari kedai yang menjadi idaman hati. Ahaaa...dah jumpa,dah jumpa! Kedai tu memang jual tudung awning tu aje...dan yang paling banyaknya, jenama Hawa ni lah! Macam-macam namala diorang ni kasik kat tudung....ni sure gara-gara cite Sumpah Bunian...gamaknya orang yang buat tudung tu berkenan kot tengok si Hawa (lakonan Nora Danish) tu pakai tudung cenggitu....dah namapun orang lawa ye tak?? Tapi yang tak lawa pun aku tengok jadi lawa jugak bila pakai tudung tu..Maka,inilah hasil usaha aku mengusha menghabiskan duit aku tudung jenama Hawa itew......check it out!


Kaler oren....



Kaler pink



Kaler merah
Sampai umah dekat pukul 5.00 jugak...Mata tetiba tertancap pada bungkusan ini.....apakah ia???Oh lupa plak. Tentunya bungkusan yang aku tunggu-tunggu itew.....inilah dia isi di dalamnya...




Swimsuit baru untuk puteri-puteriku yang dua orang tu! Kemain suka seraya menyengihkan diri  bila diorang tengok swimsuit yang aku tempah dah pun sampai. Bukan senang nak jumpa swimsuit yang menutup aurat ni...kalau kat shopping complex yang seksi meksi tu banyakle....tapi aku memang cukup tak berapa berkenan pesen camtu! Kredit to House of Muslimah Swimsuit atas servis yang da bomb! Pas ni aku plak nak beli untuk diri aku sendiri walaupun aku tergolong dalam kategori kayu berenang! Tapi aku kena kecikkan le sikit body aku ni, barulah sajak nak pakai swimsuit camtu...Sedang eloklah swimsuit sampai...tak lama lagi cuti raya cina seminggu jugak yahooo....tapi Sabtu ni dah start kena ganti! jadi kena sangatlah nak try bila pegi holiday nanti..

Semuanya puas hati...aku dengan citer tudung Hawa aku...anak-anak dengan swimsuit seorang sehelai....aku tengok senyuman tak lekang di bibir anak-anak aku tu...nasib baiklah dah dapat,kalau tidak maunya diorang akan kuarkan dialog camni...

"Mama tu tak de keje lainlah tu,asyik tudung..tudung...tudung!"

Eleh...itulah ayat-ayat tak puas hati sebab aku tak beli apa-apa kat diorang tadi...tapi terus senyap bila tengok diorang pun dapat barang baru...hihihihi...selamat aku....

Monday, November 9, 2009

Kasih sayang yang tak berpenghujung....


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
  

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. 


Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik,kalau tak mengaku,dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
 

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.
 

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: 


"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"
  

 Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah.Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!"

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

 Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" 



"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. 


"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
 

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. 


Dia berdiri di depan ayah dan ibu. 


"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!" 


Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung  wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.
 

Panggggg.... sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
 

"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"
 

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
 

"Kakak perempuan.... biarlah kakak yang berhenti." 

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.... .
 

"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
 

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: " Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
 

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan
pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" 



Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"
 

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya.. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.  


Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."
 

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia  mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
 

Aku kaku.. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
 

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. 


"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik." 

 "Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka." 



Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
 

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
 

"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.
 

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras." 


Apalagi...aku menangis seperti selalu. 


Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
  

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
  

 "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
 

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
 

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati..
 

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar. "


"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila." 


Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Sebuah kisah untuk renungan kita bersama.


Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. "Horey! Papa balik!" Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya.
 

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang.. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.
 

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. "Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.

"Fail saya kat depan tu mana?"
 

"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan."

"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.

"Laila…" Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

"Saya nak ke out station minggu depan."

"Lama?" Soal Laila.

"Dalam seminggu."

"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"

"Budak-budak? "

"Ikut jugalah."
 

"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu…"

"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi. "Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana." "Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad! Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!"

"Manalah saya ada masa.." "Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!" Dia tersentak dari khayalannya. "Kalau tak suka pulangkan balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. "Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. "Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah." "Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. "Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?"

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

"Awak masak apa?"

"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!"

"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan.

"Keluar!"

"Mama dah masak Pa!"

"Awak saja makan!"

"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. "Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. "Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan." "Abang tak suka tengok papa marah-marah. ..." "Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?"

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling.. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

"Laila.." serunya

"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

"Sunyi pulak rumah ni mak,"

"Lama-lama kau biasalah."

Airmatanya menitis laju. "Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu."

"Tak ada lah?"

"Ingat papa ni cop duit?"

Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. "Awak tak sihat ke?"

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. " Ujar Laila perlahan

"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah... "Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. "Abang!"

"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk. "Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti." Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. "Laila…" "Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. "Wangi-wangi lagi. Dating ye?"

"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

"Ikut boleh?"

"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. "Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami."

"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. "

"Papa pesanlah.."

"Nantilah besar sikit." Dalihnya.

"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun."

"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,"

Laila terdiam. "Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."

"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." "Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?"

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. "Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! " Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa.. "Kalau tak suka pulangkan,"

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.
 

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila…

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan.


P/S : Hargailah orang-orang yang tersayang semasa mereka masih ada....

 


Saturday, November 7, 2009

Very sad and meaningful story..bacalah!

Aku dapat cerita sedih ni daripada anak murid aku, Lah..tq Lah for sharing this sad n meaningful story..

Ini merupakan sebuah kisah yang mungkin akan membuatkan anda melihat betapa pentingnya kita hidup seolah-olah setiap hari merupakan yang terakhir buat kita….

Ada seorang pemuda yang dilahirkan dengan penyakit kanser yang tiada penawarnya. Kita namakannya sebagai A. Dia kini berusia 17 tahun dan dijangka menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bila-bila masa sahaja. Disebabkan oleh keadaannya itu, dia terperuk di rumahnya, dibawah penjagaan si ibu.
Pada suatu hari, dia membuat keputusan untuk melihat dunia luar setelah sekian lama.”sekali pun cukuplah atau mungkin ini yang terakhir, tidak mengapa, “ kata hatinya. Setelah memaklumkan kepada ibunya dan ibunya bersetuju. A tidak pergi jauh, hanya berjalan sekitar deretan kedai berhampiran rumahnya.
Tiba-tiba A berhenti di hadapan sebuah kedai muzik. Seraya dia menjengukkan kepalanya kedalam, A terpandangkan seorang gadis yang cukup cantik, lebih kurang sebaya dengan umurnya. Mungkin inilah yang dinamakan cinta pandang pertama. Kaki A terus melangkah masuk. 


Dia terus maju ke kaunter di mana gadis itu sedang berdiri. Si gadis melemparkan senyuman yang sungguh manis kepada Asambil bertanya: “Boleh saya bantu?”. Di dalam kepala A hanya ada senyuman paling manis pernah dilihatnya selama 17 tahun ini. A tergamam buat seketika sebelum menjawab dengan nada suara yang agak terketar:Saya nak beli CD”. Tangannya pantas mencapai sekeping CD yang sempat tercapai oleh tangannya. Dia kemudiannya menyeluk saku, mengeluarkan wang untuk bayaran. “Awak nak saya balut ke CD ni?,” soal gadis itu lagi bersama senyuman yang tidak lekang di bibirnya. A hanya mampu mengangguk. Si gadis meminta diri untuk ke bilik belakang.Sekali lagi A menganggukkan kepalanya.


Sejak hari itu, saban hari A akan berkunjung ke kedai tersebut. Dan setiap hari itu jugalah, A akan membeli CD yang dibalut cantik oleh si gadis. A pula, sekembalinya ke rumah tidak pernah membuka CD-CD yang dibelinya itu dan hanya menyusunnya di atas rak.

Lagipun, CD-CD tersebut cuma alasan A untuk bertemu gadis. A seorang anak muda yang sangat pemalu. Walaupun dia mencuba sedaya upaya untuk memberanikan diri mengajak si gadis keluar dengannya, namun lidahnya kelu. Ibu A perasan dengan apa yang berlaku dan sentiasa memberikannya galakan.
Pada suatu hari, A nekad. Seperti biasa, dia keluar ke kedai muzik, membeli CD dan si gadis akan membalutnya cantik-cantik. Semasa si gadis sedaang sibuk membungkus CD tersebut di belakang, A meninggalkan nombor telefonnya di atas kaunter sebelum cepat-cepat keluar dari situ.
Keesokan harinya, A tidak lagi bertandang ke kedai seperti kebiasannya. Lantas, si gadis cuba menghubunginya menggunakan nombor telefon yang A tinggalkan semalam. Si ibu yang menjawab panggilan it. Gadis penjual CD di kedai muzik! Si gadis meminta untuk bercakap dengan anak lelakinya dan si ibu mula menangis.
Gadis itu bertanyakan apa yang terjadi? “Tidakkah kamu tahu, dia telah meninggal dunia semalam?” Untuk sekian lama, yang ada hanyalah diam yang panjang. Pada sebelah petangnya, ibu A memasuki bilik anaknya kerana begitu terkenangkan A . Dia membuka almari pakaian A dan terperanjat melihatkan CD-CD yang berbalut kemas tanpa satu pun darinya yang dibuka.


Hatinya tertanya-tanya. Dan untuk meleraikan persoalannya itu, ibu membuka salah satu daripadanya. Sebaik sahaja dia mengoyakkan balutan tersebut, si ibu ternampak sehelai kertas kecil yang diselitkan di dalamnya.
Kertas tersebut berbunyi: “Hai, awak ni cute lah. Kalau boleh, saya ingin berkenalan. Itupun kalau awak sudi.- sofea” si ibu mula meraung setiap kali dia membuka CD-CD tersebut, satu demi satu demi satu sehinggalah habis kesemuanya. Tiap satu darinya mengandungi helaian kertas yang tertulis mesej serupa. “Hai, awak ni cute lah. Kalau boleh, saya ingin berkenalan. Itupun kalau awak sudi.- sofea”


Moralnya, begitulah adanya hidup ini. Jangan tunggu untuk menunjukkan kepada seseorang yang istimewa apa yang anda rasakan tentangnya. Kerana esok mungkin sudah terlalu lewat untuk anda berbuat demikian…….




Kenangan bersama anak muridku, Lah Ariffin